Contact

Thursday, May 2, 2013

Wanita Islam-Perwatakan Tersendiri

 

Salam..

Lama rasanya saya tidak menulis..mungkin dek kerana menunggu masa yang sesuai untuk dicuri dikala diri dikerumuni penuh dengan amanah yang perlu dilaksanakan. Apa-apa pun saya ingin mengongsi satu artikel menarik yang saya rasa bermanfaat untuk para muslimah diluar sana. Selamat membaca.. Smile

***

Di sana terdapat segolongan manusia yang berbeza daripada rakan-rakannya yang lain, tertonjol di dalam masyarakatnya, apabila ia bercakap semua yang ada diam mendengar, apabila mereka dilanda masalah mereka mencarinya, menunggu pendapat dan berpegang dengan pandangannya. Apabila dia tidak muncul mereka terasa kehilangannya. Golongan ini merupakan golongan pemikir, mereka mempunyai perwatakkan yang tersendiri. Mereka berfikir sebelum bercakap.

Apabila berhadapan dengan sesuatu masalah, mereka akan mengkaji dan menelitinya daripada pelbagai sudut serta menggunakan pengalaman yang luas untuk mendapat natijah yang sahih dan tidak terkeluar daripada landasan yang betul.


Islam sebagai satu agama yang agung, dengannya kita menjadi mulia, membina umatnya, samada lelaki ataupun perempuan di atas asas syakhsiah yang bebas dan berbeza daripada orang lain. Islam juga menolak sifat taklid, terikut-ikut dan tidak tetap pendirian. Oleh itu, ia mencela golongan musyrikin yang tidak mempunyai pendapat tersendiri terhadap sesuatu perkara. Pendapat dan fahaman mereka semata-mata mengikut apa yang ditinggalkan oleh bapa-bapa mereka walaupun bapa-bapa mereka tidak berakal dan tidak mendapat petunjuk. Rasullullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Janganlah salah seorang daripada kamu tidak tetap pendirian, dia berkata aku bersama orang ramai, sekiranya mereka baik maka baiklah aku, sekiranya mereka buruk maka buruklah aku, dan tetapi kuatkanlah diri kamu, sekiranya orang ramai baik maka baiklah kamu, sekiranya mereka buruk maka kamu jauhilah keburukan mereka. "


Seseorang yang tidak tetap pendirian ialah orang yang bertindak tanpa berfikir dan tanpa keyakinan seolah-olah dia merupakan seorang di dalam kelompok yang tidak langsung memiliki dirinya. Ia berkelakuan dan bertindak mengikut keadaan orang ramai dan keadaan sekeliling, tanpa berusaha untuk berfikir ataupun bertanggungjawab terhadap keputusannya samada benar ataupun salah. Orang seperti ini tidak mampu untuk memikul tanggujawab dan bersama-sama didalam pembangunan, ataupun memainkan peranan di dalam perjuangan yang sebenar. Orang-orang seperti ini mungkin diterima oleh mereka yang hidup di atas perkara-perkara yang remeh–temeh, ataupun mereka yang hidup tanpa tujuan dan matlamat. Tetapi mereka yang terbentuk dengan pembentukan Islam samada lelaki ataupun wanita tidak sekali-kali menerima perwatakkan seperti ini.


Di dalam perjalanan umat Islam dan sejarahnya yang panjang, telah muncul beberapa wanita yang unggul, mempunyai perwatakkan yang tersendiri, seolah-olah ia merupakan bintang yang berkilauan di puncak sejarah. Ini adalah kerana ia dididik di madrasah tauhid, hidup di kalangan orang-orang yang beriman dengan sifat kepimpinan yang ada padanya. Ia mempunyai akhlak tinggi dan mulia yang sentiasa menjaga supaya ia melaksanakan peranannya di dalam pembinaan ummah.
Wanita-wanita Islam pada zaman dahulu, mereka telah menjelaskan pendapat dengan penuh tegas dan berani apabila di dalamnya terdapat kebaikan untuk masyarakat dan ummah ataupun untuk kepentingan kaum sejenisnya. Siapakah di antara kita yang tidak mengingati gadis berani yang datang berjumpa dengan Rasullullah s.a.w. memberitahu bahawa beliau menolak daripada berkahwin dengan anak bapa saudaranya kerana paksaan bapanya.


Beliau kemudian kembali dan menerima anak bapa saudaranya sebagai suami selepas menguatkan konsep, tiada paksaan ke atas gadis di dalam masalah perkahwinan. Sehingga para bapa mengetahui bahawa mereka tidak berhak di dalam apa-apa urusan anak-anak perempuan mereka". Iaitu para bapa tidak berkuasa ataupun harus untuk memaksa anak-anak perempuan mereka berkahwin dengan orang-orang yang tidak mereka sukai.


Begitu juga dengan wanita masyhur, utusan para wanita yang datang berjumpa dengan Rasullullah s.a.w meminta supaya para wanita dibenarkan berjihad selepas orang lelaki beroleh kejayaan dengan berjihad, bersolat Jumaat, menghadiri sembahyang berjemaah . Maka Rasullullah s.a.w. bersabda kepadanya dengan maksud: "Layanan wanita yang baik terhadap suaminya manyamai semua itu. "Ini bermaksud bahawa tanggungjawab yang dilaksanakan terhadap rumah dan suaminya mendapat ganjaran pahala yang sama dengan pahala yang diperolehi oleh lelaki.


Kemudian inilah wanita yang berjumpa dengan Saidina Umar bin Al-Khattab di jalan dan berkata kepadanya: "Sesungguhnya kamu adalah Umair suatu ketika dahulu ketika kamu bersama kami, kemudian kamu menjadi Umar dan kemudian kamu menjadi Amirul Mukminin; takutlah kepada Allah wahai Umar; " Begitu juga wanita yang menentang pendapat Saidina Umar di masjid sewaktu Umar menegah mahar perkahwinan yang tinggi dengan berkata: "Kamu tidak berhak padanya wahai Umar."


Inilah sebahagian daripada tokoh-tokoh yang menonjol di dalam masyarakat Islam yang pertama. Buku-buku sejarah tidak menyebut nama-nama kebanyakkan mereka kerana contoh-contoh seperti ini adalah terlalu banyak dan biasa pada zaman mereka. Sejarah masih lagi menyimpan peristiwa-peristiwa besar yang berlaku ke atas wanita Islam sepanjang sejarahnya yang memanjang selama lebih daripada empat belas kurun.


Sesungguhnya wanita-wanita Islam ini mencari kebenaran, menuntut hakikat dan beriltizam dengan perkara yang betul. Selain daripada itu mereka juga berkorban, bahkan menemui kematian untuk menegak dan mempertahankan kebenaran. Dan ini semua dengan kehendak Allah akan terus berkekalan.


Sesungguhnya wanita-wanita Islam dituntut memberi perhatian kepada pemikiran dan pengetahuan agama serta beriltizam dengan tuntutan syara’ melebihi perhatian yang diberikan terhadap pakaian yang merupakan gambaran lahiriah dan membelanjakan untuk benda-benda yang tidak mendatangkan banyak faedah. Dia perlu memberi perhatian terhadap akhlak dan adab yang baik, perkataan yang manis dan suka kebaikan untuk manusia.


Ia menyemai di dalam jiwanya ketinggian maruah dan kehormatan, menjauhi perkara yang remeh -temeh, menghindari perkara–perkara maksiat, jauh daripada perkara yang boleh membawa kepada perpecahan dan tidak memberi faedah, tidak mengaibkan orang lain, berbaik sangka dengan orang ramai, menunaikan tanggunjawab kemasyarakatan, membantu orang-orang yang teraniya dan berhajat serta membantu orang yang dizalimi.


Oleh itu, fenomena menonjolkan keindahan sederhana yang menimbulkan ketenangan di dalam jiwa serta menyebarkan kecantikan ataupun keindahan terlalu tinggi yang ada di dalam masyarakat merupakan salah satu gambaran daripada gambaran-gambaran masyarakat Islam yang tinggi. Wanita sentiasa suka kelihatan cantik dan kecantikan hati, ruh, akal, tindak tanduk dan kebijaksanaan merupakan kecantikan yang kekal dan berterusan. Justeru, perkara ini perlu mendapat tempat teratas di dalam senarai perkara-perkara penting yang perlu dilaksanakan dan didahulukan.


Sementara itu, gambaran zahir perlulah kelihatan sederhana yang melambangkan maruah dan istiqamah. Jadi tidak layak untuk wanita Islam menggunakan model ataupun fesyen yang datang daripada barat yang sesat. Wanita Islam perlu mencari sesuatu yang sesuai dengan akidah dan masyarakat yang berada di sekelilingnya.


Selain daripada itu, dia juga perlu mendidik diri dan ahli keluarganya supaya mempunyai keperibadian yang unggul dan bebas daripada sebarang pengaruh, beristiqamah, menolak sikap suka mengikut dan tidak hanyut di bawa arus. Apabila wanita Islam menyedari perkara ini, maka suatu perubahan masyarakat kita akan menuju ke arah kemajuan selangkah demi selangkah.


Risalah أيتها الفتيات
Unit Dakwah dan Pembangunan Insan
HEWI PMRAM 2011

 

Diambil dari http://pmram.org